Selamat datang ke blog Kaunseling Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.. Segala pertanyaan boleh dilakukan dan pelbagai pautan yang menarik disediakan.. Sebarang keraguan dan cadangan boleh dihantar ke email kaunselormozac@gmail.com..

Monday, July 2, 2007

Telefon Bimbit

Penggunaan di sekolah boleh jejas keharmonian dan mengganggu masa pembelajaran
Isu kebenaran penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar sekolah, seperti yang diperkatakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon mencetuskan kontroversi. Namun, belum sempat pekeliling berhubung perkara itu sampai ke peringkat sekolah, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengambil keputusan menarik balik kebenarannya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Ismail Nihat berkata; “Dalam zaman ICT sekarang kita tidak dapat lari daripada berdepan dengan perkembangan teknologi. Sama ada suka atau tidak ia menjadi budaya masyarakat Malaysia.
Sewaktu tiada sebarang garis panduan diberikan oleh Kementerian Pelajaran, didapati penggunaan tanpa kebenaran tetap berlaku di kalangan pelajar.
Kalau ditanya perlu atau tidak, ia bergantung kepada penjaga murid berkenaan. Bagaimana penjaga dapat mengawal anak mereka sama ada di rumah atau di luar pandangan mereka. Bagi guru mungkin tiada keperluan untuk murid mereka memiliki telefon bimbit kerana jika timbul sebarang masalah mereka boleh menghubungi penjaga melalui berbagai saluran. Tambahan pula hari ini telefon awam ada di kebanyakan sekolah.
Namun persoalan yang mungkin dihadapi oleh guru khususnya guru disiplin ialah berkaitan kehilangan barang sehingga menambahkan lagi beban tugas guru. Bagaimanapun murid perlu dididik supaya bersikap dengan pekerti yang baik, walaupun cabarannya tetap ada.
Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa penggunaan telefon bimbit sudah berlaku sebelum pekeliling dikeluarkan, tetapi dipejamkan mata begitu saja selagi tidak menimbulkan masalah.
“Mengikut pengalaman kami, memang perkara ini berlaku. Banyak sekolah mengadakan peraturan mereka sendiri dengan melarang penggunaan telefon bimbit bagi mengatasi masalah ini. Ada yang merampas telefon bimbit berkenaan.”
Dengan menarik balik kebenaran menggunakan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah, NUTP mengalu-alukannya kerana di samping bantahan sebahagian besar ibu bapa, ia juga mengurangkan beban tugas guru dalam menguatkuasakan syarat-syarat penggunaannya.
NUTP berasa dukacita kerana Kesatuan Guru tidak dibawa berbincang mengenai isu yang penting seperti ini yang meliputi ibu bapa, pelajar dan guru. Harapan NUTP adalah supaya di masa akan datang, isu-isu yang penting seperti ini haruslah mendapat pandangan daripada semua pihak sebelum ia dijadikan pekeliling dan dikuat kuasakan.
“Ada pandangan mengatakan bahawa pelajar lebih suka menghabiskan masa dengan permainan dalam telefon bimbit serta perbuatan melanggar disiplin seperti mengambil gambar tidak sopan. Ini juga mungkin boleh berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya kebenaran itu tidak ditarik apa yang kita boleh katakan mengenai perkara ini ialah, penjaga seharusnya tidak membelikan telefon yang canggih, memadai yang asas saja. Malangnya perkara ini sukar dikawal. Peranan semua pihak perlu supaya budaya pengunaan yang beradab sopan ditanam di kalangan pelajar. Ini satu proses pendidikan yang perlu difikir secara positif.
Begitu juga, pada peringkat awal penggunaan telefon bimbit boleh mewujudkan jurang antara pelajar berada dan pelajar tidak berkemampuan. Mungkin hal ini akan berlaku tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi perkara biasa. Ia juga bergantung kepada bagaimana ibu bapa mendidik anak mereka.